CIRI-CIRI USAHAWAN YANG BERJAYA



Untuk menjadi seorang Usahawan yang berjaya, maka seorang usahawan itu perlulah memiliki ciri-ciri ini bagi menjadi seorang usahawan yang berjaya kelak. 

1. Tidak Mudah Berputus Asa
Maksud berputus asa boleh digambarkan sebagai suatu keadaan di mana seseorang usahawan itu merasakan satu perasaan seperti tiada lagi harapan lagi untuk berjaya dan berhenti melakukan sesuatu hal (Saat Sulaiman, 2008). Hal ini demikian, sering berlaku kepada individu yang baru menceburi bidang perniagaan. Keadaan ini berlaku kepada mereka yang baru sahaja membuka perniagaan mereka, dan secara amnya, keadaan ini berlaku disebabkan beberapa faktor. Menurut laman sesawang milik Irfan Khairi, tiga sebab mengapa kita berputus asa adalah yang pertama kerana kita merasakan tiadanya jalan penyelesaian, yang kedua adalah kerana terlalu banyak kata-kata negatif yang bermain di minda, manakala yang terakhir adalah kerana letih dan penat untuk berusaha.
Dalam konteks perniagaan, masalah yang sering timbul di awal perniagaan adalah modal, pelanggan dan persaingan yang sedia ada. Dalam menghadapi kesulitan ataupun masalah, janganlah seseorang usahawan tersebut cepat berputus asa atau patah semangat, sebaliknya hendaklah dia bersiapkan diri untuk membuka mata, telinga serta pemikirannya. Hal ini kerana, dengan membuka mata, usahawan tersebut akan dapat melihat peluang lain yang mungkin akan timbul.Seterusnya dengan memasang telinga serta membuka pemikirannya akan dapat membantu dalam menyelesaikan masalah yang timbul, misalnya dengan membuka telinga, kita akan mendengar nasihat nasihat berguna daripada golongan tertentu seperti keluarga, kawan-kawan, dan insan-insan tersayang, manakala dengan membuka pemikiran pula, usahawan perlulah bijak untuk menyelamatkan perniagaan dengan berfikir di luar kotak, kreatif dan berinovatif. Perkara ini, hendaklah diterapkan di dalam jiwa dan hati usahawan agar mereka mempunyai sikap yang tidak mudah berputus asa demi menyelamatkan perniagaan mereka.

2 Bijak Menyelesaikan Masalah
Secara amnya, setiap individu baik remaja atau orang tua, semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Masalah boleh digambarkan dalam pelbagai bentuk. Antaranya, masalah dalam keluarga, masaah peribadi, dan masalah di dalam perniagaan. Menurut Jauharah (1995), masalah boleh ditakrifkan sebagai perbezaan yang terdapat antara keadaan sebenar dengan keadaan yang diingini tentang suatu benda, perkara hal atau keadaan. Sebagai contoh, seseorang yang membuka perniagaan di Johor Bahru perlu menghadiri satu pertemuaan yang akan menguntungkan syarikat miliknya perlu berada di Alor Star dalam masa 2 jam, dalam hal ini masalah untuk ke Alor Star adalah jarak yang melebihi 600 kilometer.

Di dalam konteks perniagaan, masalah yang selalu wujud adalah pembekal, pelanggan, keuntungan, kerugiann dan muflis. Hal ini kerana, perniagaan merupakan satu sektor pekerjaan yang memakan jumlah duit yang sangat besar dan berisiko untuk gagal adalah besar jika tidak bijak mengambil peluang. Sebagai contoh, pada tahun 2005, seorang usahawan kelahiran German yang bernama Lampberger telah mengalami kerugian apabila produk keluarannya tidak bergitu laris di Malaysia iaitu produk perawatan pencemaran udara di dalam rumah. Hal ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang bebas daripada pencemaran udara pada tahun 2005 dan ini menyebabkan rakyat Malaysia tiada kepentingan untuk membeli produk keluarannya. Dalam hal ini, Lampberger telah melakukan kesalahan dari segi strategi pemasarannya dan sekali gus mengundang kepada masalah. Tetapi beliau tidak takut atau gentar, beliau telah memasarkan produknya ini ke Indonesia dan hasilnya sangat menguntungkan.

Perkara ini dilihat sebagai mana seorang usahawan yang mengalami masalah di awal perniagaannya tidak berputus asa dan cuba memikirkan pendekatan lain yang memberikannya keuntungan dengan melihat peluang-peluang perniagaan di tempat lain. Kesimpulannya, setiap masalah yang timbul semasa aktiviti perniagaan dijalankan, kita hendaklah sentiasa tenang dan memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah dengan bijak dan bukan dengan berputus asa kerana setiap kesulitan pasti ada jalan keluarnya.

3 Proaktif
Proaktif merupakan satu sikap yang positif dengan merangka dan mengawal sesuatu tindakan yang dilakukan lebih awal daripada jangkaan. Orang yang mempunyai proaktif yang tinggi mampu mencari peluang dan kesempatan, seterusnya mempunyai daya usaha mengambil tindakan yang tepat untuk memanfaatkan kesempatan tersebut (Siti Faizah Ismail, 2009). Lebih jauh dijelaskan bahwa proaktif adalah lawan dari reaktif. Proaktif merupakan keyakinan diri bahawa sumber segala perilaku adalah terletak pada diri manusia itu sendiri. Seseorang yang proaktif selalu memiliki tujuan, gerak maju, dan berorientasi ke masa depan. Seseorang yang proaktif tidak akan menunggu peluang datang, mereka akan mencari peluang yang dapat membantu mereka untuk melaksanakan sesuatu kerja. Mereka bertindak secara inisiatif terhadap peluang pasaran dengan membentuk sesuatu persekitaran baru. Dengan ini, firma yang dimiliki oleh usahawan yang proaktif itu akan menjadi pemimpin dalam pasaran, dan mempengaruhi kaedah bersaing dengan membina permintaan baru. Usahawan yang proaktif akan berusaha mencari maklum balas daripada pelanggannya, dan bukan sekadar menunggu pelanggannya dating membuat aduan. Apabila mendapat aduan, mereka akan bersifat terbuka dan menerima aduan tersebut dengan hati yang tenang, berusaha membaiki kelemahan yang ada, seterusnya mencapai kejayaan dalam perniagaan.
Salah satu contoh usahawan yang bersifat proaktif ialah Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew, adalah seorang hartawan dari Pulau Pinang dan pengedar tunggal pertama motosikal Honda di Malaysia. Berdasarkan sejarah, beliau merupakan seorang yang buta huruf dan tidak boleh membaca. Walaupun beliau tidak mempunyai latar belakang akademik yang tinggi serta formal, ini tidak menjadi halangan kepada beliau untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Dengan keyakinan yang tinggi, beliau mengenalpasti satu produk yang jelas amat diperlukan oleh rakyat Malaysia, iaitu motorsikal bersaiz kecil dan ringan. Idea ini muncul apabila beliau melihat sebuah motorsikal yang bersaiz kecil dan ringan di jalan raya Bandar Osaka, Jepun. Akhirnyanya, beliau berjaya memastikan motorsikal Honda terus diminati di Malaysia.

4 Lokus Kawalan Dalaman
Lokus kawalan dalaman merupakan kepercayaan bahawa peristiwa boleh dipengaruhi oleh tingkah laku peribadi dan tidak akan dipengaruhi oleh faktor luaran. Individu percaya bahawa tingkah laku seseorang individu dipandu oleh keputusan peribadinya dan usaha dalaman. Usahawan yang mempunyai lokus kawalan dalaman yang tinggi lebih bergantung kepada diri sendiri terhadap apa-apa perkara dan situasi tanpa kira baik atau tidak, kerana mereka rasa pencapaian adalah mengikut nilai yang sanggup didosakan. Tahap lokus kawalan yang tinggi akan membuatkan seseorang usahawan itu berasa yakin akan keputusan yang dibuatnya dan merasakan bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan yang terbaik dan dapat memberi kebaikan kepada semua pihak.
Antara contoh usahawan yang memiliki lokus kawalan dalaman yang tinggi ialah Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman. Beliau merupakan pengasas produk kecantikan yang terkenal di Malaysia iaitu D’Herbs. Bermula dengan hanya 4 produk, kini D’Herbs sudah mempunyai lebih daripada 90 rangkaian produk kecantikan dan beroperasi di sebuah bangunan 4 tingkat. Seperti usahawan yang lain, Dato’ Aliff Syukri juga mempunyai masalah untuk mendapatkan modal. Permohonannya untuk mendapatkan pinjamn bank telah ditolak. Namun semangatnya tidak pernah padam. Setelah berfikir, akhirnya beliau cuba mendapatkan pinjaman dari rakan-rakan terdekat dan para peserta yang pernah mengikuti bengkel kecantikan beliau. Akhirnya, beliau mendapat modal yang mencukupi dan hal ini manjadi titik permulaan bagi perniagaannya naik ke satu tahap yang lebih tinggi. Dengan bermodalkan RM100,000 yang dikumpul dari pinjaman awal dan duit terkumpul hasil perniagaan di pasar tani selama 2 tahun, sudah cukup membantu Dato’ Syukri membina jenama sendiri.

5 Kecekapan Masa
Kecekapan masa dikaitan dengan mengurus masa dengan baik dalam menjalankan aktiviti perniagaan untuk berjaya. Seseorang usahawan haruslah menjalankan sesuatu tugas atau perniagaan dengan betul, cekap, serta menepati ada. Ada juga yang mendefinisikan kecekapan masa sebagai kecekapan usahawan dalam mengembangkan perniagaannya mengikut trend semasa atau mengikuti permintaan semasa yang tinggi. Usahawan perlu pandai menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi keperluan semasa pelanggan.

Salah satu contoh usahawan yang berkaitan kecekapan masa ialah Dato Hj Ameer Ali Bin Mydin. Beliau telah mengambil alih perniagaan keluarganya iaitu Mydin Mohamed Holding Berhad yang ditubuhkan oleh ayahnya, iaitu Mydin Mohamed Bin Ghulam Hussein. Beliau menyifatkan kejayaan beliau kepada ciri-ciri kepimpinan yang berdisiplin seperti ketepatan masa, disiplin, kejujuran, dan kesederhanaan. Salah satu moto yang digunakan oleh beliau ialah “ jika tiba tepat pada waktunya, anda adalah lewat”. Beliau dikaitkan dengan ciri kecekapan masa boleh yang boleh dilihat melalui peristiwa yang telah berlaku seperti kenaikan harga barangan dan permintaan terhadap keperluan asas kehidupan seorang manusia, beliau memperkenalkan konsep jualan harga barangan pada harga yang sangat rendah dan kuantiti yang banyak.

6 Kerja Berpasukan
Perniagaan yang menekankan semangat kerja berpasukan dan kerjasama boleh memberi kelebihan keatas kekuatan individu pekerja mereka. Sekiranya perniagaan melakukan kerja berpasukan dalam menghasilkan sesuatu produk, produk yang dihasilkan akan lebih berkualiti daripada hasil kerja individu. Kerja berpasukan boleh dipupuk dengan cara keinginan untuk mencapai kesepakatan dan melibatkan orang lain dalam membuat keputusan, berkomunikasi secara terbuka dan jujur antara rakan sekerja, prihatin tentang ahli pasukan rakan-rakan, bertanggungjawab terhadap masalah dan cuba memahami pandangan orang lain. Selain itu, setiap ahli pasukan perlu memberi kekuatan dan kelebihan apabila ingin melakukan sesuatu projek supaya projek yang dihasilkan lebih cekap dan cekap serta berkualiti. Keberkesanan kerja berpasukan boleh dikecapi dengan peranan yang dimainkan oleh setiap ahli dan mengelakkan berlakunya perselisihan faham antara ahli pasukan.
Sebagai contoh, Erik Johson seorang pengasas permainan ‘online’ iaitu Dota 2 (Defense of the Ancient) telah bekerjasama dengan IceFrog iaitu pencipta asal Dota, Gabe Newell, pengarah pengurusan Valve Corpotation, Robin Walker, perekaTeam Fortress dan Adrion Finol, programmer. Pada asalnya, Dota hanya merupakan permainan ‘online’ dalam grafik 2D. Erik Johson telah berbincang bersama IceFrog melalui e-mel untuk memperbaharui permainan tersebut dalam bentuk grafik 3D. Selepas mendapat persetujuan untuk bekerjasama, ahli-ahli pasukan yang lain turut membantu mereka dalam melaksanakan projek tersebut serta mendapat sokongan daripada syarikat Valve Corporation. Projek dilancarkan pada13 Oktober 2010.

7 Berpandangan Jauh
Berpandangan jauh boleh ditakrifkan sebagai suatu kebolehan untuk menjangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Dalam menjadi seorang usahawan yang berjaya, salah satu ciri yang perlu ada adalah memiliki sifat berpandangan jauh. Usahawan yang mempunyai sifat foresight atau berpandangan jauh ini adalah seorang yang pandai merancang, menganalisis dan mempunyai sikap merebut peluang yang ada di depan mata. Sebagai contoh, Tan Sri Dr Antony Francis Fernandes adalah seorang usahawan yang berjaya di Malaysia dan antara ciri-ciri usahawan yang beliau miliki adalah sifat berpandangan jauh. Hal ini kerana, pada Disember tahun 2001, beliau telah membeli Air Asia untuk tanda RM1 dan mengambil RM40 juta hutanng syarikat penerbangan itu. Beliau telah membeli Air Asia yang ketika itu memengalami era kejatuhan dan kerugian yang teruk dan kemudiannya beliau berjaya mengubah Air Asia dari sebuah syarikat penerbangan yang kecil kepada syarikat penerbangan tambang murah yang kini berkembang dengan pesatnya di serata Asia dan dunia. Tony Fernandes merupakan CEO kepada Air Asia dan juga pengasas kepada Tune Group. Perkara ini telah menguntungkan syarikat Air Asia dan beliau sendiri setelah mencapai keuntungan yang cepat dalam tempoh dua tahun kerana tambang murahnya, serta perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Air Asia juga telah dipilih sebagai sebuah syarikat penerbangan kos rendah terbaik dunia dalam tempoh enam tahun berturut-turut iaitu dari tahun 2009 hingga 2014.
Perkara ini dapat dilihat sebagai contoh seorang usahawan yang sanggup mengambil risiko kerugian yang besar kerana beliau melihat peluang yang ada dan berpandangan jauh untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Pendek kata, Tan Sri Dr Antony Francis Fernandes adalah seorang usahawan yang berpandangan jauh dan sifat berpandangan jauh beliaulah yang telah menyelamatkan Air Asia daripada menjadi ingatan kepada syarikat kos rendah terbesar di dunia.

8 Budaya Keterbukaan
Budaya adalah topik yang sering diperkatakan di kalangan syarikat-syarikat korporat dan keusahawanan. Ia adalah sesuatu yang semua orang bincangkan, sesuatu yang membawa kepada keuntungan, sesuatu yang menarik dan mengekalkan pekerja dalam sesebuah syarikat. Bagi sesetengah syarikat, sebuah pekerjaan bukanlah sekadar tugas semata-mata, tetapi ia merupakan sebuah cara hidup. Pekerja adalah lebih kepada sebuah pasukan dan malah dalam sesetengah keadaan, mereka merupakan sebuah keluarga yang besar dalam sesebuah syarikat. Salah satu cara untuk merealisasikan budaya kerja yang terbuka dalam sesebuah syarikat adalah dengan menghormati pekerja-pekerja yang lain. Sifat ini sememang perlu ada dalam setiap pekerja supaya dapat melahirkan budaya kerja yang selesa dan seronok. Selain itu, sesebuah organisasi boleh mencapai budaya kerja yang terbuka dengan mengamalkan sikap komunikasi yang terbuka antara pihak atasan dan pekerja bawahan. Sebagai contohnya, pencipta laman sesawang terkenal dunia ‘Google’ iaitu Larry Page dan Sergery Brin. Mereka telah menerapkan sikap budaya terbuka ini di dalam syarikat mereka. Mereka mengamalkan budaya terbuka ini di mana semua orang adalah penyumbang dan berasa selesa berkongsi idea dan pendapat mereka. Pekerja-pekerja Google boleh bertanya terus kepada Larry, Sergey dan eksekutif lain tentang permasalahan yang mungkin wujud di dalam syarikat dalam mesyuarat. Selain itu pejabat dan kafe ‘Google’ direka khas untuk menggalakkan interaksi komunukasi antara pekerja, dan untuk mencetuskan perbualan serta antara medium untuk mengeratkan hubungan antara pekerja.

9 Berani Mengambil Risiko
Dalam perniagaan kita haruslah berani untuk mengambil risiko sama ada kecil ataupun besar risiko tersebut. Berani mengambil risiko bermaksud sesebuah perniagaan yang berpotensi mengalami kerugian dari segi wang ringgit ataupun mendapat ganjaran dan keuntungan yang lumayan . Risiko memainkan peranan yang penting dalam diri seorang usahawan. Tetapi pada masa kini terlalu ramai usahawan lebih-lebih lagi para usahawan yang baru sahaja memasuki bidang ini yang takut untuk mengambil risiko akhirnya perniagaannya tidak mendapat sambutan. Antara risiko-risiko dalam perniagaan ialah risiko kerugian , risiko pengorbanan masa dan tenaga , risiko produk rosak dan risiko dapatkan pekerja. Oleh itu pengurusan risiko haruslah dititik beratkan supaya dapat menghadapi sebarang risiko dengan lebih tabah dan kental.

Selain itu, di dalam sesuatu perniagaan, pengambilan risiko yang tinggi adalah antara yang sering dilakukan oleh usahawan-usahawan yang berjaya. Sebagai contoh, pada tahun 2013, Sabah mengalami pencerobohan di Lahad Datu, seseorang usahawan yang mempunyai perniagaan di sana mempunyai dua pilihan sama ada untuk terus kan perniagaannya di sana atau memberhentikan seketika kerana pencerobohan tersebut berkemungkinan akan menyebabkan kematian pekerja atau kerosakkan harta syarikat. Oleh itu, seseorang usahawan yang mempunyai perniagaan di sana hendaklah membuat keputusan yang mempunyai risiko yang tinggi. Hal ini demikian kerana, jika beliau tidak meneruskan perniagaannya di sana, keuntungan syarikat akan terhenti dan ini akan menyebabkan kerugian kepada syarikatnya, manakala jika beliau meneruskan perniagaannya, beliau akan berdepan dengan risiko kematian atau penculikan.

Kesimpulannya, seseorang usahawan yang berjaya, hendaklah mempunyai ciri-ciri usahawan ini iaitu berani mengambil risiko.Perkara ini demikian kerana, dengan mempunyai cirri-ciri keusahawanan seperti ini, keuntungan syarikat akan bertambah maju dan berkembang dengan pesat, tetapi jika risiko yang diambil itu gagal, berkemungkinan besar akan menyebabkan sesebuah syarikat itu gulung tikar.

10 Sikap Bertanggungjawab
Setiap usahawan yang ada di dalam dunia ini sememangnya mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang tinggi, tetapi tidak semua usahawan mempunyai sikap tanggung jawab. Hal ini demikian kerana, sikap bertanggung jawab adalah antara sikap yang paling berat untuk dilakukan, kerana ia akan mendatangkan kerugian atau keuntungan kepada individu tersebut. Sebagai contoh, pada tahun 2016, syarikat kereta Proton telah menarik balik sekitar 20 000 buah kereta berjenama Exora kerana masalah “seat-belt”. Perkara ini demikian telah membuktikan usahawan mereka mempunyai sikap bertanggung jawab yang tinggi terhadap pengguna. Hal ini demikian akan menyebabkan keuntungan syarikat setelah pengguna merasakan bahawa syarikat Proton sememangnya sebuah syarikat yang menitik beratkan keselamatan dan sentiasa bertanggungjawab di atas kesilapan yang dibuat. Ini akan menyebabkan pengguna teus membeli kerta berjenama Proton kerana mereka yakin dan percaya akan syarikat Proton. Selain itu, usahawan yang berjaya juga mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap dirinya serta perniagaannya. Mereka bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Jika mereka membuat kesilapan, mereka akan bertanggungjawab terhadap kesilapannya itu dan menjadikannya pengajaran serta bertekad tidak mahu mengulanginya lagi pada masa akan datang. Sememangnya, kegagalan itulah yang akan memberikan kita kejayaan suatu hari nanti. Kesimpulannya , usahawan haruslah tanam sikap bertanggungjawab dalam diri ,walaupun sikap bertanggungjawab itu akan merugikan perniagaannya . Jika sikap tanggungjawab tidak ada dalam diri seorang usahawan , ia akan mengakibatkan banyak perkara negatif terhadap pengguna . Oleh sebab itu , diharapkan semua usahawan haruslah bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan..

Jadi untuk menjadi seorang Usahawan yang berjaya dalam dunia yang penuh cabaran sekarang ni, seorang usahawan perlulah memiliki ciri-ciri ini bagi mengawal sebarang bentuk ancaman akan datang dalam dunia perniagaan ini.

Comments

Post a Comment